TUHAN MEMPEDULIKAN KITA
![]() |
| Kredit Pixabay |
Ketika kita mengetahui bahawa ada orang (ahli keluarga, sahabat, pasangan suami atau isteri) yang ambil berat serta peduli kepada kita, kita pastinya berasa amat gembira dan senang hati. Kita pasti merasa hidup ini sangat bermakna, dan seterusnya menjadi lebih bersemangat untuk menjalani hidup yang penuh dugaan serta cabaran ini. Sebagai anak-anak Allah yang hidup, kita sepatutnya merasa lebih lagi bersemangat dan kuat kerana kita tahu bahawa Allah yang hidup dan berkuasa juga mengambil peduli terhadap diri kita. Tidak bergembira dan bersemangatkah anda tatkala menyedari bahawa Tuhan segala tuhan dan Raja segala raja menumpukan pandangan mata-Nya kepada keadaan kita serta membukakan telinga-Nya untuk mendengarkan setiap permintaan kita? Perlukah kita takut kepada hal-hal yang sedang terjadi atau bakal terjadi kepada kita di masa hadapan? (Roma 8:31) Tetapi satu hal yang perlu kita ingat ialah bahawa kita harus memiliki iman yang kuat dan teguh supaya dapat bertahan sementara menunggu jawaban Tuhan kepada seruan doa kita. Kita tidak boleh putus asa serta kalah kepada semua cabaran dan halangan seperti situasi sukar, penderitaan, kesusahan, dan sakit-penyakit yang sedang kita hadapi di dunia ini. Semua ini sepatutnya tidak boleh merintangi perjalanan iman kita menuju ke rumah kita yang kekal, iaitu di syurga. Ketika semua ini mendatangi kita, kita harus berdoa dan berseru lebih lagi kepada Yesus supaya akhirnya Dia mendatangi kita untuk memberikan mukjizat serta penerobosan kepada kita.
Markus 10:46-52 (TBI) Lalu tibalah Yesus dan murid-murid-Nya di Yerikho. Dan ketika Yesus keluar dari Yerikho, bersama-sama dengan murid-murid-Nya dan orang banyak yang berbondong-bondong, ada seorang pengemis yang buta, bernama Bartimeus, anak Timeus, duduk di pinggir jalan. Ketika didengarnya, bahwa itu adalah Yesus orang Nazaret, mulailah ia berseru: "Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!" Banyak orang menegornya supaya ia diam. Namun semakin keras ia berseru: "Anak Daud, kasihanilah aku!" Lalu Yesus berhenti dan berkata: "Panggillah dia!" Mereka memanggil orang buta itu dan berkata kepadanya: "Kuatkan hatimu, berdirilah, Ia memanggil engkau." Lalu ia menanggalkan jubahnya, ia segera berdiri dan pergi mendapatkan Yesus. Tanya Yesus kepadanya: "Apa yang kaukehendaki supaya Aku perbuat bagimu?" Jawab orang buta itu: "Rabuni, supaya aku dapat melihat!" Lalu kata Yesus kepadanya: "Pergilah, imanmu telah menyelamatkan engkau!" Pada saat itu juga melihatlah ia, lalu ia mengikuti Yesus dalam perjalanan-Nya.
Kisah dalam petikan firman Tuhan di atas menceritakan tentang Bartimeus yang buta. Dia adalah seorang pengemis dan sudah pastinya dipinggirkan atau tidak dipedulikan oleh masyarakat sekelilingnya. Ketika dia mendengar bahawa Yesus berada di Yerikho, dia seperti orang lain juga ingin berjumpa atau ingin ditemui oleh Yesus, maka dia dengan penuh harapan berteriak memanggil nama Yesus kerana dia tahu Yesus mampu melakukan mukjizat dan menyembuhkan dirinya serta mengubah keadaanya itu. Orang di sekelilingnya menyuruhnya diam kerana mereka tentu berfikir bahawa orang sepertinya tidak layak bertemu dengan Yesus, tetapi semakin kuat dia memanggil dan meminta belas kasihan dari Yesus tanpa mempedulikan teguran serta halangan daripada orang-orang di situ sehinggalah akhirnya Yesus bertemu dengannya dan melihat keadaannya itu.
Dalam dunia sekarang ini, ada banyak perkara yang "berusaha" menjadi penghalang untuk kita datang kepada Yesus. Perkara-perkara itu mahu supaya kita berhenti berseru dan berputus asa dalam pengharapan kita kepada Yesus. Perkara-perkara tersebut mahu menghentikan doa dan panggilan kita kepada Yesus supaya kita tidak mendapat jawaban (mukjizat dan penerobosan) dari Tuhan bagi persoalan atau pergumulan tertentu kita. Kita harus melawan perkara tertentu yang sebenarnya sedang digerakkan atau dipergunakan oleh iblis untuk menentang dan menghambat kita.
Yakobus 4:7 (TBI) Karena itu tunduklah kepada Allah, dan lawanlah Iblis, maka ia akan lari dari padamu!
Kita harus berani datang kepada Tuhan oleh kerana kita sedar bahawa hanya Dia yang mampu melepaskan kita daripada pelbagai cabaran dan halangan yang merintangi kita.
Ibrani 4:16 (TBI) Sebab itu marilah kita dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunya.
Kita harus belajar dari iman dan semangat kental Bartimeus dalam menantikan pertolongan Tuhan. Kita harus menguatkan hati dan berdiri tegap dan tetap bertahan supaya pertolongan, mukjizat dan kejaiban Tuhan datang kepada kita indah pada waktunya (Pengkhutbah 3:11), dan pada ketika itu tentu sekali semuanya akan menjadi sempurna dan teratur, kerana semua perkara yang bakal terjadi dalam hidup kita sebagai anak-anak Tuhan ada masanya yang tepat untuk ianya berlaku (Pengkhutbah 3:1).
Setelah Bartimeus dapat melihat semula, dia langsung "...mengikuti Yesus dalam perjalanan-Nya" (Markus 10:52). Dia tidak pergi ke tempat lain walaupun sebelumnya Yesus ada menyuruhnya untuk pergi. Hatinya sudah terpaut pada Yesus. Kita juga begitu, apabila sudah ditolong oleh Tuhan, jangan pula kita bergerak ke arah yang bertentangan dengan Tuhan tetapi tetaplah ikut Dia untuk mengekalkan berkat yang sudah kita terima itu. Ingatlah bahawa di masa depan akan ada banyak perkara yang bakal terjadi, di mana kita pasti memerlukan Yesus untuk dapat melaluinya dengan jaya. Tetaplah mengasihi dan menginginkan Dia ketika berada dalam keadaan senang atau susah. Kita juga harus ingat bahawa perkara yang lebih buruk daripada yang sebelumnya boleh terjadi jika kita kembali ke hidup yang lama dan terus-menerus menjalani hidup dalam dosa. Ikutlah Yesus, tinggalkan hidup yang lama itu!
Filipi 3:8 (TBI) Malahan segala sesuatu kuanggap rugi, karena pengenalan akan Kristus Yesus, Tuhanku, lebih mulia dari pada semuanya. Oleh karena Dialah aku telah melepaskan semuanya itu dan menganggapnya sampah, supaya aku memperoleh Kristus dan berada dalam Dia bukan dengan kebenaranku sendiri karena mentaati hukum Taurat, melainkan dengan kebenaran karena kepercayaan kepada Kristus, yaitu kebenaran yang Allah anugerahkan berdasarkan kepercayaan.

Comments
Post a Comment