MENEGUR MENURUT ROH VS MENEGUR MENURUT DAGING (MENGHAKIMI)
![]() |
| Kredit Pixabay |
Dalam menyampaikan firman
Tuhan kepada jemaat atau sesama orang percaya, hamba
Tuhan atau penyampai firman Tuhan harus memiliki keberanian yang didorong oleh kasih. Mereka harus diberitahukan kebenaran,
apa lagi jika mereka sedang melakukan kesalahan. Kita harus berani menyatakan
kesalahan, menegur menurut Roh, dengan tidak menghakimi (untuk
menjatuhkan) jemaat. Kita menegur menurut Roh apabila teguran atau nasihat yang
disampaikan bukanlah menurut gerak hati manusiawi semata-mata tetapi berdasarkan
kebenaran Allah. Menghakimi pula ialah lebih kepada mengkritik, mencari-cari
kesalahan, dan menghukum orang yang salah. Penyampai firman Tuhan
tidak berhak menghakimi pendengar. Tugas para hamba Tuhan ialah untuk menerima dan
mengasihi orang, biar Tuhan sajalah yang menghakimi. Siapakah kita sehingga mahu
menghakimi sesama manusia? Hanya Allah yang berhak untuk menghakimi, sebab hanya Dia yang adil dan tahu semuanya (Yakobus 4:12).
Hamba Tuhan hanya memiliki
hak untuk menegur (untuk memperbaiki) kesalahan jemaat, dan itupun haruslah
dilakukan dengan kasih dan sikap lemah-lembut, bukan dengan penuh kemarahan, sambil
berteriak-teriak atau dengan penuh kedagingan. Teguran yang berdasarkan firman Tuhan
adalah “…bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk
memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran…” supaya
anak-anak Tuhan “…diperlengkapi untuk setiap perbuatan baik…” (2 Timotius 3:16-17).
Ini salah satu daripada instrumen dalam membangun gereja Tuhan.
Memang ketika kesalahan
diri kita diberitahukan kepada kita, ia menyakitkan. Kebenaran sememangnya
menyakitkan dan pahit untuk ditelan, tetapi juga akan membebaskan kita jika
diterima dengan fikiran positif dan terbuka (Yohanes 8:32). Tetapi lebih baik
jika kebenaran diberitahukan daripada menahannya. Ketika firman Tuhan
diisytiharkan dengan tidak mengkompromikan kebenarannya, ia akan memberikan
kesedaran kepada orang yang tidak mahu disedarkan, dan ini boleh membawa mereka
kepada pertaubatan, melalui pekerjaan Roh Kudus (Yohanes 16:8-11). Adalah lebih
baik merasa tersinggung dan sakit hati disebabkan oleh teguran yang membina dan
benar (yang disampaikan oleh hamba Tuhan atau pemimpin rohani yang mempunyai kuasa
dan wibawa) daripada terus berada dalam kegelapan dan dosa.
Mazmur
25:8 (TBI) TUHAN itu baik dan benar; sebab itu
Ia menunjukkan jalan kepada orang yang sesat.
Galatia 6:1 (TBI) Saudara-saudara,
kalaupun seorang kedapatan melakukan suatu pelanggaran, maka kamu yang rohani,
harus memimpin orang itu ke jalan yang benar dalam roh lemah lembut,
sambil menjaga dirimu sendiri, supaya kamu juga jangan kena pencobaan.
Hamba Tuhan atau pemimpin atau orang-orang yang rohani ada
tanggungjawab untuk memimpin jemaat dan juga sesama orang percaya untuk masuk
ke dalam jalan yang benar, dengan niat hati yang murni dan ikhlas. Dorongan
untuk menegur atau memimpin haruslah benar, iaitu berdasarkan
firman Tuhan dan kebenaran-Nya. Selain itu, orang yang mahu memimpin atau ingin
menegur harus menjaga diri sendiri supaya jangan mendapat cubaan yang sama atau jatuh
ke dalam kesombongan dan tinggi hati, serta menganggap diri tidak layak ditegur
oleh orang lain (oleh bapa rohani, mentor, sesama pemimpin atau rakan
sepelayanan yang memahami dan bertanggungjawab), kerana menganggap diri
lebih rohani atau lebih besar dari orang lain. Orang yang diberikan tanggungjawab menyampaikan firman Tuhan harus lebih berhati-hati kerana mereka memiliki tanggungjawab yang lebih besar dalam Kerajaan Allah di bumi ini.
Yakobus 3:1 (TBI) Saudara-saudaraku,
janganlah banyak orang di antara kamu mau menjadi guru; sebab kita tahu, bahwa
sebagai guru kita akan dihakimi menurut ukuran yang lebih berat.
Lukas
12:48 (AVB) Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak
tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum
dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan
dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin
banyak pula yang akan dituntut daripadanya.
Rupa-rupanya,
menjadi hamba Tuhan dan juga pemimpin sesebuah pelayanan tidaklah mudah kerana
selain bertanggunjawab menjaga kerohanian diri sendiri, mereka juga
bertanggungjawab menjaga kerohanian jemaat, dan semua itu akan dituntut di hari
penghakiman nanti.
Dalam konteks sesama orang percaya atau sesama jemaat, tidak salah jika ingin memberi nasihat atau teguran kepada yang lain, tapi sebelum melakukannya sedarilah posisi atau kedudukan atau keadaan rohani diri sendiri terlebih dahulu. Tidak sedikit gereja yang jemaatnya bergaduh gara-gara ini sahaja. Apa tidaknya kalau semua orang merasa layak memberikan nasihat atau teguran, padahal kerohaniannya sendiri tidak melayakkannya untuk melakukan hal itu. Sebaiknya serahkan kepada hamba Tuhan atau pemimpin gereja untuk menangani kesalahan seseorang di dalam gereja. Harus diingat, hanya “…kamu yang rohani…” yang “…harus memimpin orang itu ke jalan yang benar…” (Galatia 6:1), supaya tidak terjadi pergaduhan atau perselisihan faham di antara yang memberikan teguran dan juga yang ditegur. Jika berlaku pergaduhan atau perselisihan faham di antara kedua-dua pihak, ini sudah cukup menunjukkan bahawa mereka belum cukup rohani dan matang, dan sepatutnya menahan diri daripada melakukannya.
![]() |
| Kredit Pixabay |
Matius
7:1-5 (TBI) Jangan kamu
menghakimi, supaya kamu tidak dihakimi. Karena dengan penghakiman
yang kamu pakai untuk menghakimi, kamu akan dihakimi dan ukuran yang kamu pakai
untuk mengukur, akan diukurkan kepadamu. Mengapakah engkau melihat
selumbar di mata saudaramu, sedangkan balok di dalam matamu tidak engkau
ketahui? Bagaimanakah
engkau dapat berkata kepada saudaramu: Biarlah aku mengeluarkan selumbar itu
dari matamu, padahal ada balok di dalam matamu. Hai orang munafik, keluarkanlah dahulu balok dari matamu,
maka engkau akan melihat dengan jelas untuk mengeluarkan selumbar itu dari mata
saudaramu.
Roma 2:21-22 (TBI) Jadi, bagaimanakah engkau yang mengajar orang lain, tidak engkau mengajar dirimu sendiri? Engkau yang mengajar: "Jangan mencuri," mengapa engkau sendiri mencuri? Engkau yang berkata: "Jangan
berzinah," mengapa engkau sendiri berzinah? Engkau yang jijik akan segala
berhala, mengapa engkau sendiri merampok rumah berhala?
Sebaiknya
biarlah hamba Tuhan atau pemimpin yang bertanggungjawab dan matang serta rohani
yang memberikan nasihat dan juga teguran kepada individu tertentu.
Oleh itu, usahakanlah untuk memberikan teguran menurut roh dan hindarilah teguran menurut daging (menghakimi) kerana kedua-dua hal ini berbeza dan mendatangkan hasil yang berlainan, kerana yang satu membangun orang dan mendatangkan berkat dan yang satu lagi menjatuhkan orang dan mendatangkan perselisihan faham serta kehancuran. Ketika memberikan teguran yang didorong oleh iri hati atau dengan penuh kemarahan, maka kita sedang menghakimi. Ketika memberikan teguran atas dasar kepentingan diri sendiri, atau mencari-cari kesalahan orang lain untuk menunjukkan kita lebih baik atau pandai, maka kita sedang menghakimi. Ketika kita menegur kesalahan dan kesilapan orang lain tetapi kita sendiri tidak melihat kesalahan sendiri, kita menghakimi. Janganlah menghakimi, tegurlah dengan kasih!
Matius 18:15 (TBI) Apabila saudaramu berbuat dosa, tegorlah dia di bawah empat mata. Jika ia mendengarkan nasihatmu engkau telah mendapatnya kembali.
2 Tesalonika 3: 15 (AVB) Namun demikian, jangan pula anggap dia sebagai musuh. Sebaliknya nasihatilah dia sebagai saudaramu.


Comments
Post a Comment