HIDUP DAN MATI
![]() |
| Kredit Pixabay |
Ketika kita membaca pendisiplinan (amaran) firman Tuhan, kita mesti membacanya dengan sebuah hati yang penuh gentar dan takut. Tetapi apabila kita membaca firman Allah tentang berkat, kita mesti benar-benar menerimanya dengan hati yang penuh gembira dan sukacita.
Dalam Bilangan 16, anda akan membaca tentang bagaimana orang Israel menerima penghukuman dari Allah disebabkan ketidakpatuhan dan sikap memberontak mereka. Orang Israel tinggal di padang gurun di mana tidak ada apa-apa di sana. Ia merupakan sebuah tempat yang amat terpencil.
Tiang awan dan tiang api memimpin jalan mereka. Korah, Datan, Abiram dan On telah bertukar menjadi orang kurang ajar. Mereka telah berkumpul bersama untuk membentuk sebuah perkumpulan dan memberontak terhadap Allah. Mereka mulai melampiaskan kemarahan terhadap utusan Allah iaitu Musa dan Harun. Mereka bersungut tentang hal-hal di sekeliling mereka. Mereka bersungut tentang padang gurun yang tidak berpenghujung. Mereka mempersoalkan tanah yang sudah dijanjikan.
Tanah Kanaan yang dilimpahi dengan susu dan madu nampaknya sangat jauh dan tidak realistik. Orang-orang Israel tidak tahu bahawa mereka adalah orang-orang yang diberkati. Samalah halnya dengan kita pada hari ini, tidak kira berapa banyak cubaan, kesakitan, dan penderitaan yang kita alami, kita adalah umat Tuhan yang diberkati. Kita harus selalu berkomunikasi dengan Allah melalui doa kita. Kita juga diberkati dengan anugerah-Nya dan salah satu daripada anugerah itu adalah "Api Kudus".
Tidak seperti situasi kita, orang-orang Israel tidak mempunyai sebarang pendapatan. Mereka tidak mempunyai tanah untuk diusahakan. Mereka tidak mempunyai air perigi untuk diminum. Tanah di mana mereka mengembara adalah tanah terbiar. Orang-orang Israel harus bergantung sepenuhnya kepada Musa dan Harun.
Mereka telah meninggalkan Mesir dan ketika mereka mengembara di padang gurun, mereka telah mengagumi negeri Kanaan. Tetapi sebelum memasuki tanah yang diberkati itu, mereka ditempatkan dalam sebuah latihan supaya mereka dapat menjadi umat Allah yang sejati.
Samalah dengan kita. Sama seperti orang Israel dilatih di padang gurun selama 40 tahun tanpa makanan lebih, pakaian lebih dan juga tempat perteduhan yang selesa, kita juga berada dalam latihan sekarang ini sementara kita berpegang pada janji untuk memasuki negeri Kanaan. Padang gurun adalah sama dengan kem latihan ketenteraan.
Sebelum kita percaya kepada Yesus, kita menjalani kehidupan menurut apa yang kita ingini berdasarkan dunia ini. Tetapi ketika kita sudah menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat, kini kita faham bahawa perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah dan hanya berlaku dalam sehari. Menjadi orang Kristian bukanlah tentang merayakan sebuah hari perayaan dalam setahun seperti Krismas.
The Lord's Church di Korea Selatan adalah seumpama kem latihan ketenteraan. Jika anda datang dan menghadiri gereja kami (The Lord's Church), mata rohani anda akan terbuka. Gereja yang benar harus memiliki kuasa untuk mengalahkan kuasa neraka!
Orang Israel ditempatkan di padang gurun untuk dilatih sama seperti orang Kristian ditempatkan dalam latihan. Ketika orang Israel tinggal di Mesir, mereka tidak mempunyai kepedulian terhadap kehidupan rohani mereka tetapi hanya ada kepedulian terhadap keselesaan jasmaniah mereka sahaja. Ketika orang Israel hidup sebagai hamba, mereka tidak tahu ertinya bertanggungjawab. Yang mereka tahu atau ingini hanyalah sebuah kehidupan yang selesa dan acuh tak acuh. Samalah dengan orang dunia sekarang ini. Ketika kita belum mengenal Yesus, seperti itulah keinginan kita. Kepedulian kita hanyalah untuk memiliki sebuah hidup yang lebih selesa dan baik. Kita hanya berfikir bagaimana untuk mendapatkan wang yang lebih banyak, mendapatkan kenaikan pangkat, mendapatkan pendidikan yang lebih baik, mendapatkan kereta mewah, rumah yang lebih banyak dan lain-lain lagi. Inilah standard kita untuk mentakrifkan sebuah hidup yang berjaya dan baik. Tetapi ini sebenarnya kehidupan seorang hamba.
Tetapi apabila kita sudah menjadi umat pilihan Allah dan bukan lagi hamba, kita memiliki tanggungjawab yang harus dipikul. Bahkan selepas menyaksikan 10 tulah yang dialami Mesir dan setelah memutuskan untuk mengikuti Allah, orang Israel masih lagi mengalami kematian di padang gurun itu disebabkan ketidakpatuhan dan sikap memberontak mereka. Kita harus patuh kepada firman Allah 100%. Jika kita tidak mematuhi firman-Nya, kita akan mati sementara kita berada di padang gurun rohani kita.
Orang Israel pasti menderita. Mereka beranggapan bahawa mereka dapat memasuki negeri Kanaan dalam tempoh ketika mereka masih hidup. Tetapi Tuhan memberitahu kita terlebih dahulu bahawa kita mesti bertahan dan tabah menghadapi dugaan serta penderitaan dalam hidup ini. Allah mendorong kita melalui firman-Nya. Kita sekarang berada dalam proses menjadi seorang askar yang akan menakluki negeri Kanaan. Dia mengubah kita.
The Lord’s Church merupakan kem latihan ketenteraan yang melatih anda dengan baik untuk menjadi askar Tuhan. Dengan hanya melihat atau menonton tayangan video tentang latihan ketenteraan, itu belum cukup untuk menunjukkan prosedur atau kepayahan yang sebenarnya ketika berada dalam kem latihan itu. Jika anda datang ke The Lord's Church, semua sikap keanak-anakan anda akan dibongkar. Semua kata-kata kotor serta fikiran kotor akan dibongkar. Kita harus jujur dan tulus ikhlas. Jika kita tidak jujur dan tulus ikhlas, Tuhan tidak dapat menggunapakai kita. Jika kelemahan anda didedahkan di hadapan Allah, anda harus menerimanya dan bersetuju serta-merta untuk memperbaikinya. Tetapi jika anda terus-menerus memberikan alasan demi alasan dan mempertahankan diri anda, Tuhan tidak akan menggunapakai anda.
Personaliti dan sikap anda haruslah dilatih dan dipersiapkan dengan baik. Jika tidak, apabila anda menerima sebarang kurnia rohani, ia mungkin akan memimpin kepada kemerosotan dan kerosakan akhlak. Seseorang itu kemudiannya akan menggunakan kurnia rohani itu untuk menghancurkan gereja. Hati dan motif kita harus murni. Meskipun anda terus-menerus berkeras bahawa anda berada dalam posisi benar, apakah yang akan anda lakukan jika Tuhan berkata tidak? Anda harus memiliki sebuah sifat yang baik untuk menerima semua latihan dan disiplin dari Tuhan ketika berada di padang gurun.
Ketika anda membaca Bilangan 16, latihan dan jalan yang mereka hadapi semuanya ditunjukkan. Kelemahan kita harus didedahkan ketika kita menjalani latihan dan kita harus memperbetulkan masalah-masalah kita yang telah didedahkan. Apabila kelemahan serta masalah kita didedahkan, kita harus bertaubat.
Ada sesetengah orang bernubuat dengan salah, dengan menggunakan kurnia nubuatan mereka, dan kemudian apabila ia tidak digenapi, mereka buat-buat tidak tahu dan buat-buat lupa, seakan-akan mereka tidak pernah mengatakannya. Orang seperti ini harus bersungguh-sungguh bertaubat!
Apabila dosa anda yang lepas didedahkan, anda harus bersungguh-sungguh bertaubat. Ada sesetengah orang bernubuat tidak tepat dan mendesak bahawa itu adalah misi mereka untuk menyampaikan mesej tersebut. Tetapi jika misi itu adalah dari Allah, ia tidak akan bohong. "Misi" mereka itu akan menghancurkan hidup seseorang. Dalam kitab Bilangan, ada diceritakan bagaimana umat Allah tidak patuh dan berdosa terhadap-Nya. Ketika kita berada di padang gurun dan melalui latihan yang sukar, kita mesti ingat kepada firman Allah. Kita mesti meminta Allah menolong kita dalam hal ketidakpatuhan kita dan juga hal yang kita takuti. Melalui latihan yang sukar ini, orang Israel memasuki negeri Kanaan.
Domba yang sejati harus mengajar (mendidik) orang untuk tidak berbohong, sama seperti ibu bapa mengajar anak-anak mereka untuk tidak berbohong. Sebelum ibu bapa menekankan firman Allah kepada anak-anak mereka, mereka harus terlebih dahulu patuh dan tulus dalam setiap tindakan dan dalam hati. Sehinggalah hari di mana kita memasuki kerajaan Allah, keluarga adalah sangat mustahak. Keluarga itu sendiri merupakan askar Tuhan. Askar Tuhan berjuang menentang dosa. Jika si bapa berada dalam latihan, ini bererti si isteri dan juga anak-anak berada dalam latihan. Ketua keluarga mesti membuat keputusan yang jelas. Dia harus menghindari pendisiplinan yang tidak perlu. Anda harus berdoa dan terus berdoa. Anda harus bertahan melalui semua tekanan. Kita sedang dilatih untuk bertahan. Jika ibu bapa tidak didisiplinkan dengan baik secara rohani, maka anak-anaklah yang harus berjaga-jaga secara rohani.
Harus ada seseorang yang berpaut pada Allah dan berdoa. Hanya melalui doa orang-orang barulah Allah memberikan mukjizat. Ada sebuah cerita benar. Seorang ibu kepada dua orang anak mati disebabkan dipukul dengan teruknya oleh suaminya yang merupakan seorang kaki pukul. Dia mati dalam keadaan yang teruk. Ketika ibu itu sampai ke pintu gerbang syurga dengan malaikat, dia melihat roh kedua-dua orang anaknya itu berdoa sambil menangis. Itu adalah apa yang berlaku di alam roh tetapi melalui mata jasmaniah, kedua-dua anaknya yang masih kecil itu berdoa kepada Allah di hadapan tubuh ibu mereka yang sudah mati. Dua malaikat yang bersama-sama dengan roh ibu itu mendapat kebenaran dari Allah untuk membawa rohnya kembali ke dalam tubuhnya yang telah mati itu. Allah menghantarnya semula ke bumi disebabkan doa yang bersungguh-sungguh dari kedua-dua anaknya itu. Kesaksian ini memberitahu kita bahawa apabila kita benar-benar berdoa kepada Allah, alam roh akan digerakkan dan mukjizat akan terjadi.
Berkahwin hanya untuk memuaskan keinginan seks tidak jauh bezanya dengan binatang. Orang Kristian harus berdoa beserta dengan keazaman yang teguh. Mereka harus berdoa beserta dengan tanggungjawab terhadap keluarga mereka. Sama ada suami atau isteri, mereka haruslah berdoa bersungguh-sungguh supaya dapat memberikan pengaruh yang baik kepada anak-anak mereka. Ini ialah sebuah tugas keibubapaan yang sebenar.
Sekarang, kembali ke kitab Bilangan 16 di mana Korah, Datan, Abiram dan On mulai menentang Musa. Para pemimpin itu juga marah kepada Musa kerana hanya Musa dan Harus yang boleh memberikan perintah. Mereka tidak puas hati kerana harus menuruti Musa dan Harun.
Bilangan 16:3 (ABB) Mereka bersama-sama menghadap Musa dan Harun, lalu berkata, " Kamu sudah keterlaluan! Semua orang Israel milik TUHAN, dan TUHAN menyertai kita semua. Tetapi hai Musa, mengapakah engkau menganggap dirimu lebih tinggi daripada umat TUHAN?"
Apa yang mereka katakan kedengarannya logik dan baik pada zahirnya tetapi sebenarnya semua itu hanyalah fikiran manusia semata-mata. Secara demokratik, mereka mewujudkan sebuah perhimpunan dan menangani perkara itu berdasarkan keputusan majoriti. Pada zahirnya, semua itu kelihatan wajar tetapi ia tidak benar di depan mata Tuhan.
Mengapakah Allah hanya bercakap melalui Musa dan Harun? Ketua imam itu pasti memiliki kata-kata yang akan menyelamatkan jiwa-jiwa! Dari kata-kata serta khutbah mereka, kasih terhadap jiwa-jiwa juga harus ada. Hati mereka harus dipenuhi dengan kasih terhadap jiwa-jiwa. Hanya melalui cara itu barulah jemaat yang berada di bawah kekuasaan mereka dapat bertahan dan kekal di dalam padang gurun kerohanian mereka. Para pastor harus memiliki kemampuan untuk menilai sama ada seseorang jemaatnya itu benar-benar telah menerima kata-katanya ataupun sama ada orang itu benar-benar diberkati oleh kata-kata yang diucapkan olehnya. Mereka (para pastor) harus memiliki kemampuan untuk menjelaskan dan membezakan.
Apabila anda menerima kuasa beserta dengan panggilan Allah, banyak orang akan iri hati dengan anda. Himpunan 250 orang itu memberontak terhadap Musa dan Harun. Mereka berkata, "Mengapakah kamu menempatkan diri lebih tinggi daripada umat Tuhan?"
Dari sudut pandang dunia, kedudukan tinggi dan rendah di tempat kerja amat jelas berbeza. Orang yang berada di kedudukan tinggi mempunyai kuasa dan wibawa. Tetapi oleh kerana orang bekerja untuk duit dan jika seseorang ingin berhenti kerja, dia boleh berhenti bila-bila masa sahaja. Tetapi bercakap tentang kekristianan, kita harus bertahan sama ada kita berada di kedudukan yang tinggi ataupun rendah. Namun begitu, memang ada kuasa rohani yang mutlak dan perbezaannya.
Adakah Musa memimpin orang Israel berdasarkan rancangannya? Adakah itu semua hanya untuk kepentingannya sendiri atau keinginanya sendiri? Dia memimpin berdasarkan keinginan dan rancangan Allah. Kuasa Allahlah yang memimpin Musa.
Ada kalanya kita perlu berbincang mengenai perkara tertentu untuk melaksanakan pekerjaan Allah. Tetapi bagaimanapun, kuasa Allah adalah hidup dan ia akan memimpin kita. Kita harus memiliki Allah di dalam diri kita untuk memimpin kita di dalam semua perkara.
Musa bersujud menyembah di hadapan Allah. Iblislah yang berada di belakang Korah, Datan dan Abiram. Ada beberapa orang lagi yang bersepakat dengan mereka. Tetapi apa yang lebih buruk ialah kakak Musa iaitu Miryam memberontak terhadapnya juga. Tetapi tidak kira semua itu, Allah berada di belakang Musa dan Harun.
Musa bersujud menyembah di hadapan Allah. Musa bersujud di hadapan orang-orang itu. Apabila Iblis menyerang dengan giat, anda harus bersujud menyembah Allah. Oleh kerana Allah sudah mengetahui bahawa orang-orang itu tidak mempunyai kemampuan untuk bekerja seperti Musa, Allah telah mempercayakan tugas itu kepada Musa.
Ketika kita datang lebih dekat dengan Allah, dosa kita yang buruk dan menakutkan akan dibongkar. Ketika saya datang lebih dekat dengan Allah, saya sangat takut kerana banyak daripada dosa saya dibongkar. Saya merasa seperti saya akan mati. Dosa dalam diri saya amat menjijikkan dan menggerunkan. Semua dosa saya didedahkan.
![]() |
| Kredit Pixabay |
Jika personaliti dan sikap anda tidak dilatih dan dipersiapkan dengan baik, tinggalkan panggilan anda. Orang yang dipanggil untuk menjadi pastor atau pemimpin, mereka harus benar-benar merendahkan diri supaya Allah boleh membongkar dosa mereka serta dapat diperbetulkan. Mereka harus memiliki ketakutan yang ilahi. Mereka harus menjadi orang yang rajin berdoa. Mereka harus berdoa banyak kali dalam sehari. Mereka harus berdoa lebih kerap daripada jemaat mereka. Mereka akan mempunyai lebih banyak perkara yang menyebabkan mereka didisiplinkan oleh Allah. Mereka akan dihakimi dengan lebih lagi. Oleh kerana Allah sudah memilih dan memanggil sesetengah orang untuk ditempatkan di bahagian kepimpinan, pada masa yang sama mereka tidak memiliki pilihan untuk berkata tidak.
Jika anda mempunyai pelayanan dalam Roh Kudus, kuasa iblis tidak akan meninggalkan anda dalam keadaan tenang. Mereka akan menyerang keluarga dan anak-anak anda. Kadang kala kita bertanya, "Mengapa banyak perkara yang tidak betul berlaku meskipun saya melayani Tuhan dengan setia? Saya telah melakukan banyak perkara untuk diberkati, mengapa Allah tidak menjawab saya cepat-cepat?"
Sebelum anda menerima penerobosan (kejayaan) atau berkat, pertama sekali anda akan mengalami suatu keadaan yang kelihatannya tidak adil. Pekalah kepada peluang, jika anda terlepas peluang yang diberikan Allah kepada anda, anda akan berhadapan dengan akibatnya.
Apabila perhimpunan Korah berkumpul dengan lebih ramai orang, mereka tidak merasa takut akan apa pun. Ketika Korah berdiri di depan khemahnya dengan himpunan orang itu dan menentang Musa dan Harun, Allah serta-merta menghancurkan mereka. Oleh kerana sikap Korah yang memberontak, isterinya serta anak-anaknya mati bersamanya tanpa sebab.
Bahkan selepas Allah membunuh Korah serta para pengikutnya, orang-orang Israel masih lagi mengganggu Musa dan Harun dengan berbagai-bagai masalah. Mereka tidak berfikir bagaimana mereka telah memberontak dan tidak patuh kepada Allah.
Korah mendesak berdasarkan fikiran dan perasionalan manusiawi. Pada zahirnya, mereka mempunyai alasan yang baik. Tetapi apabila kita bercakap tentang kerja Kerajaan Allah, kita tidak boleh menggunakan fikiran manusia tetapi mencari kerendahan hati dan kasih. Kita mesti setia kepada Allah. Hanya ada satu cara untuk menghindarkan kehancuran orang lain iaitu melalui doa!
Oleh kerana Musa tidak menunjukkan kemuliaan Tuhan di Meriba ketika memukul batu untuk mengeluarkan air, misinya telah berakhir. Dia tidak lagi dapat masuk ke dalam negeri Kanaan.
Jika anda membaca Bilangan 16, orang-orang yang menentang Musa telah dihukum dengan wabak penyakit. Sungutan dan kemarahan orang Israel menyebabkan mereka terkena wabak penyakit itu.
Tetapi dengan kerendahan hati, Musa bersujud ke tanah di hadapan Allah dan berdoa supaya wabak itu berhenti. Hidup kita ini penuh dengan ketidakadilan tetapi untuk kita mendapat penyelesaian sama ada situasi itu adil atau pun tidak, kita mesti patuh kepada firman Allah.
Amat sukar bagi kita untuk bergerak maju dan patuh begitu sahaja. Kita sedang berada dalam latihan akan semua perkara. Tetapi apabila sesi latihan kita selesai, Allah kemudiannya akan mempercayakan kepada kita dengan tugas menaklukan peperangan di Kanaan. Saya berdoa supaya anda akan selesai dengan baik dalam sesi latihan anda dan saya juga berdoa agar anda akan menakluki negeri Kanaan yang penuh dengan susu dan madu. Saya memberkati anda supaya menghasilkan buah dalam nama Yesus. Amin.
Pastor Kim, Yong Doo
Pastor gereja The Lord's Church, Korea Selatan,
Penulis buku Baptize by Blazing Fire: Buku 1, Buku 2, Buku 3


Comments
Post a Comment