IMAN YANG MEMINDAHKAN GUNUNG

Kredit Pixabay
Matius 17:20 (AVB) Yesus menjawab, "Ini kerana kepercayaanmu tipis. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada gunung, 'Beralihlah ke situ!' maka bukit itu akan beralih. Tidak ada satu pun yang mustahil bagi kamu.

Sebutir biji sawi bersaiz amat kecil jika dibandingkan dengan biji benih tumbuhan yang lain. Yesus berkata bahawa jika kita mempunyai iman seperti biji sawi sahaja, kita dapat memindahkan gunung. Gunung atau bukit adalah lambang dari setiap keadaan atau perkara yang sukar. Ini bermakna tidak ada keadaan ataupun perkara sukar yang tidak dapat diubah kalau kita memiliki iman, sebab hanya melalui iman saja Tuhan akan bekerja dan melakukan sesuatu di dalam hidup kita.


Kita harus bertanya kepada diri sendiri apakah iman yang kita miliki sejati atau dibuat-buat. Setiap orang Kristian mengaku orang percaya dan beriman. Tetapi apakah iman itu? Apakah ertinya untuk menjadi orang percaya? Ramai yang percaya dan berfikir mereka memiliki iman bagi kesembuhan. Adakah kesembuhan datang? Ramai yang percaya dan menginginkan pertolongan, tetapi adakah pertolongan itu datang? Dalam hal ini Tuhan tidak pernah salah dan lambat, kitalah yang bermasalah—banyak dari kita yang imannya bermasalah.

Ayat Alkitab ini bukan hanya bercakap tentang kemungkinan untuk memindahkan sebuah gunung yang nyata (jika itulah kehendak Allah), tetapi jika kita gali lebih dalam, kita akan melihat bahawa ia lebih dari sekadar sebuah gunung. Apakah “gunung” anda? Adakah itu penyakit? Adakah itu kewangan? Adakah itu pemulihan keluarga? Adakah itu kesunyian? Adakah itu ketagihan? Adakah itu ikatan? Apa “gunung” anda?

Masalahnya bukanlah tentang membuat pengakuan memiliki iman. Semua orang mengaku memiliki iman. Masalahnya ialah untuk mengetahui bagaimana iman bekerja atau berfungsi. Semua orang Kristian mengaku beriman tetapi tidak semua menjalani hidup dengan iman, padahal kita sepatutnya hidup dengan iman seperti yang rasul Paulus katakan di dalam 2 Korintus 5:7. Mengaku memiliki iman tidak semudah mempraktikkan iman. Banyak orang yang mengaku berada dalam kebenaran, mengaku memiliki anugerah, tetapi berkompromi dengan dosa, tidak mahu berjalan di dalam perintah-perintah Allah. Orang yang seperti ini berkompromi dengan definisi iman yang sebenar. Definisi iman tidak lain hanya menjadi kata basi. Apakah iman itu? Adakah ia hanyalah sebuah perasaan? Adakah iman itu sebuah emosi sahaja?

Ibrani 11:1 (AVB) Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat.

Penulis Ibrani mencuba untuk memberikan definisi iman kepada pembaca dalam Ibrani 11:1. Iman adalah tindakan. Iman bertumbuh bersama anugerah ketika kita bergerak dari kemuliaan kepada kemuliaan. Kita harus memiliki iman seperti biji sawi. Apakah yang akan kita buat dengan biji benih itu? Kita harus menanamnya di dalam tanah yang baik dan subur (Markus 4:8). Kita harus menyiramnya dengan air (Yohanes 4:14) dan memberikannya cahaya matahari (Yohanes 8:12). Kita harus menjaga tanaman itu daripada serangan serangga perosak (iblis) sementara ia membesar. Kita perlu menantikan musim menuai bagi buahnya (buah iman kita). Kita harus selalu menyembah-Nya, merenungkan firman-Nya, dan berdoa kepada-Nya.

Kita harus menantikan penerobosan kita! Gunakanlah perlengkapan senjata untuk melawan, mengikat dan mengusir roh-roh jahat! Kita memiliki wibawa dan kuasa sebagai anak-anak Allah. Kita harus melindungi dan mempertahankan apa yang kita percaya. Janganlah berputus asa, kita harus tetap di dalam iman dan menantikan tuaian. Kita harus menantikan buah itu. Sedangkan dalam pertanian sebenar pun buah boleh menjadi rosak. Kita harus berhati-hati kerana iblis akan datang untuk merosakkan atau memusnahkan ketika musim tuaian hampir dekat. Roh-roh jahat dengan penuh taktik menunggu sehingga musim menuai datang kepada kita, sebab pada masa kita sudah mencurahkan segala usaha dan jika kita dihancurkan, kita mungkin akan jatuh lebih dalam lagi. Kita harus terus-menerus bertahan dan bersungguh-sungguh dalam menjaga iman dan berdoa, kerana iblis akan pasti datang pada akhirnya, tetapi pada masa yang sama, Tuhan juga akan datang kepada kita. Persoalannya, mahukah kita bertahan sampai pada akhirnya?

Matius 17:20 berkata kerana kita kekurangan iman yang bererti kurangnya kepercayaan dan kebergantungan kepada Allah. Akankah kita tinggalkan tanaman itu kerana kita tidak melihat buahnya sampai ke akhirnya? Akankah kita tinggalkan tanaman itu kerana kerjanya terlalu berat? Adakah aktiviti berdoa amat sukar bagi anda? Adakah membaca firman dan menyembah Tuhan amat sukar bagi anda? Maralah ke hadapan. Bertekunlah! Jangan jatuhkan salib anda. Adakah anda mempunyai kesabaran untuk menantikan tuaian? Atau adakah anda tidak percaya bahawa tuaian boleh diperolehi? Di manakah iman anda untuk bertahan?

Allah bukanlah sebuah “drive through” makanan segera. Dia bukanlah sebuah microwave. Dia panjang sabar dan dapat bertahan dalam penderitaan! Dialah empunya seluruh masa dalam dunia. Dia akan bekerja bagi pihak kita jika dapat terus menunggu-Nya.

2 Petrus 3:9 (AVB) Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat.

Tidak kira apapun gunung kita, mahukah kita terus berdoa dan percaya? Ia memang sukar tapi mahukah kita terus menyembah-Nya? Kita memang penat tapi mahukan kita terus membaca dan merenungkan firman-Nya? Kita terkadang ingin mengalah tapi mahukah kita terus melakukan kehendak-Nya? Adakah kita bertahan sambil mengetahui bahawa tuaian sedang datang? Iman adalah sebuah tindakan. Percaya merupakan sebuah tindakan. Sama seperti seorang petani harus bekerja dalam masa yang lama di ladangnya, akankah kita berdoa lebih lama? Mahukan kita menyembah lebih lama? Mahukan kita melakukan kehendak Bapa lebih lama? Mahukan kita taat?

Kredit Pixabay
Iman bertindak balas dengan firman Tuhan dan kehendak-Nya. Dan ketika masa menuai sudah sampai, iman kita akan membawakan buah besar bagi Kerajaan Allah. Barulah pada ketika itu kita boleh berkata , “PINDAHKAN GUNUNG! Saya sembuh! Saya dipulihkan! Saya bebas! Saya mendapat penerobosan!” Semuanya ada masa yang sudah ditetapkan. Ada masa bagi penuaian tetapi akankah kita menjaga iman seperti mana petani menjaga ladangnya sambil percaya dan mengetahui bahawa hasil tuaian yang baik sedang datang?

Matius 13:31-32 (AVB) Seterusnya Yesus mengisahkan ibarat demikian: "Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditabur di ladangnya. Biji sesawi itu paling kecil antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung di udara membuat sarang pada cabangnya." 


Jika kita bertekun, bertahan, dan berlanjutan di dalam iman, iman kita akan bertumbuh menjadi sebuah pohon dan kita akan menghasilkan banyak buah. Burung-burung di udara pun akan datang dan tinggal pada cabangnya. Ini bermaksud orang lain akan datang kepada kita oleh kerana iman kita yang sejati...disebabkan oleh buah baik yang kita hasilkan. Orang akan datang kepada kita kerana kita memiliki Air Hidup Kristus dan juga Cahaya Allah.

Matius 24:13 (AVB) Namun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan.

Semua orang mengaku ada iman, tetapi kita semua akan diuji untuk menentukan iman kita sejati atau palsu. Dan hanya orang yang bertekun hingga ke akhirnya yang akan diselamatkan. Kita mesti bertahan! Jangan mengalah. Dia akan datang! Memang hal-hal di sekeliling kita akan menjadi semakin sukar. Hari-hari yang gelap sedang berlangsung ketika ini. Ramai daripada kita yang akan diuji amat berat. Bertahanlah dan bertekunlah sehingga ke akhir hayat.

Comments

Popular posts from this blog

HIDUP DAN MATI

TUHAN, SUNATLAH HATI KAMI

DIA AKAN MEMANGKAS, MENCANTAS, DAN MEMBERSIHKAN RANTING-NYA BERULANG KALI