MUSUH KITA BUKANLAH SESAMA MANUSIA, TETAPI ROH-ROH JAHAT SERTA KUASANYA!

Kredit Pixabay
Ada banyak orang Kristian yang masih tidak faham akan istilah "kehilangan nyawanya untuk menyelamatkannya". Banyak orang Kristian yang berfikiran Allah memerlukan pertolongan mereka. Banyak orang Kristian yang disesatkan oleh kegeraman, kepahitan, dan kemarahan mereka. Tuhan tidak memerlukan pertolongan kita. Yang Dia perlukan ialah kepatuhan dan ketaatan kita! Jalan-jalan Tuhan adalah lebih tinggi. Orang Kristian harus faham bahawa perjuangan kita bukan secara jasmaniah, tetapi rohaniah. Perjuangan itu bukan di antara seorang dengan yang lain (sesama manusia). Perjuangan itu adalah terhadap kuasa-kuasa jahat dan roh-roh jahat.

Efesus 6:12 (ABB) Hal itu demikian kerana kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini.

Kita harus memiliki kasih dan hati Bapa. Ia diperlukan untuk memasuki Kerajaan Allah. Yesus faham akan hal ini kerana Dia datang ke dunia ini untuk menyerahkan nyawa-Nya. Kita perlu menyerahkan hidup kita kepada Tuhan. Kita harus menafikan diri dan mulai menyalibkan keinginan daging kita. Kita perlu meminta pertolongan dari Roh Kudus.

Ketika orang-orang yang disuruh oleh para ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mendatangi Yesus, Dia menurut sahaja untuk pergi bersama mereka. Dia tahu mereka akan membunuh-Nya. Dia rela pergi walaupun Dia tahu yang Dia akan menderita amat sangat. Dia akan ditendang, ditumbuk serta dipukul sehingga tidak dapat dicam lagi. Dia akan dihina..dan apa yang amat menyedihkan, umat-Nya sendirilah yang melakukan semuanya itu menerusi bantuan orang-orang Roma.

Inilah yang terjadi kepada Raja segala raja! Dia ialah Allah alam semesta! Dia tidak perlu melalui semuanya itu. Dia tidak perlu membiarkan sekumpulan orang yang lemah dan jahil, iaitu ciptaan-Nya, mengheret-Nya seperti itu. Tetapi Petrus fikir dia boleh menolong Yesus. Dia fikir ada cara lain. Dia memahami situasi ketika itu dengan pemahaman dan hikmatnya sendiri. Dia fikir dia perlu melindungi Tuhan. Dia mengambil senjata iaitu pedangnya lalu memukul hamba imam agung dan mengerat telinganya. Tetapi apa kata Yesus? Adakah Yesus berkata, “Buatlah Petrus!”? Tidak, malah Yesus menengkingnya.

Pada zahirnya, Petrus kelihatannya adalah seorang hamba Tuhan yang mahu melakukan perkara yang benar. Kelihatannya dia mengasihi Tuhan sunguh-sungguh, sanggup melawan dan mati bagi Tuhan. Di matanya, adalah perkara yang benar ketika dia mengambil senjatanya dan mempertahankan kebenaran. Saya pasti dia bertanya apa yang tidak kena dengan tindakannya itu. Lagipun, Petrus mungkin berfikir dia sedang menentang kuasa jahat yang datang untuk membunuh Anak Allah.

Matius 26:51-53 (ABB) Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan?

Kredit Pixabay
Dalam ayat 53, Yesus berkata bahawa Dia boleh saja memanggil lebih daripada dua belas pasukan malaikat, iaitu lebih kurang 80, 000 malaikat. Dia mampu memanggil para malaikat-Nya untuk menangani orang-orang itu sebab Yesus adalah Allah. Dia boleh mempertahankan diri-Nya. Tetapi Yesus bukan datang untuk memusnahkan. Dia datang untuk mati bagi orang-orang seperti mereka, yang sedang membawa-Nya kepada kematian. Dia datang untuk menderita bagi mereka. Mengapa? Kerana Dia mengasihi mereka dan Dia berkata kepada Bapa dalam Lukas 23:34, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.

Banyak orang Kristian yang sama seperti Petrus sebelum dia dibaptis dengan Roh Kudus dan Api. Dia adalah seorang penyangkal dan pengikut yang duniawi. Dia mahu melakukan suatu perkara menurut dirinya sendiri dan menganggapnya betul.

Sama seperti sekarang ini, banyak orang Kristian yang berfikir mereka melakukan pelayanan bagi Allah dengan menghentam dan memfitnah pemimpin rohani yang lain. Mereka tidak faham akan kuasa rohani dan jika mereka terus-menerus “merebut” kuasa Allah tanpa bertaubat, mereka akan berakhir dengan kebinasaan. Mereka sama seperti sedang menarik pedang untuk menyerang, dan Yesus berkata, “semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang.” Matius 26:52b

Matius 5:44 (ABB) Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu:  Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu.

Umat Allah tidak memfitnah orang lain. Kita berdoa bagi mereka kerana kita mengasihi mereka. Kita berdoa bagi orang yang mahu membunuh kita sama seperti Yesus berdoa bagi orang yang menyalibkan Dia. Di manakah kasih anda? Selidikilah hati anda. Ramai daripada anda yang menghentam dan memfitnah hanya untuk kepentingan diri anda sendiri! Renungkan ayat-ayat firman Tuhan berikut. Ramai daripada kita yang masih ingin tinggal dalam zon keselesaan sendiri, tidak mahu untuk benar-benar mati bagi Kristus! Tidak tahukah anda bahawa kekristianan berkembang dalam penganiayaan? Tetapi ia merasa puas dan bermalas-malasan ketika berada dalam kelimpahan dan kemakmuran.

Matius 26:25 (ABB) Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati.

2 Korintus 10:4 (ABB) Senjata yang kami gunakan dalam perjuangan, bukannya senjata dunia ini, melainkan senjata yang diberikan oleh Allah. Dengan senjata itu kami boleh menghancurkan pertahanan musuh; kami menghapuskan perdebatan dan mengatasi setiap alasan yang diajukan oleh orang sombong untuk menentang pengetahuan tentang Allah. Kami menawan fikiran orang supaya taat kepada Kristus.

Janganlah disesatkan. Kita harus mempunyai hati Allah Bapa! Ketika Korah menentang Musa, Musa bersujud ke tanah dan berdoa kepada Allah memohon belas kasihan. Dia menyuruh Harun berdoa meminta belas kasihan ketika malaikat maut berjalan melalui orang-orang Israel. Sebelumnya, Korah dan sukunya dihantar ke dunia orang mati hidup-hidup dan kemudiannya sebanyak 14, 700 umat Allah terbunuh dan berada dalam neraka! Korah berani berkata kepada Musa, “Kami juga mendengar suara Allah!”, padahal dia sedang memberontak terhadap Allah. Pemberontakan adalah sihir! Kedegilan anda merupakan penyembahan berhala.

1 Samuel 15:23 (ABB) Memberontak terhadap TUHAN sama jahatnya dengan melakukan sihir, dan hati yang sombong sama jahatnya dengan penyembahan berhala. Oleh sebab tuanku menolak perintah TUHAN, TUHAN pun menolak tuanku sebagai raja.

Jika anda mahukan pemulihan bagi bangsa kita, makan rendahkanlah diri dan carilah wajah-Nya dengan bersungguh-sungguh. Berhentilah bersungut. Berhentilah mempersalahkan orang lain bagi masalah anda. Berhenti mempersalahkan mana-mana wakil rakyat ataupun kerajaan! Mungkin anda sedang diuji seperti Ayub. Akankah anda memuji-Nya ketika berada dalam badai hidup atau hanya bersungut seperti isteri Ayub? Jika anda adalah Kristian, anda harus selalu mempunyai sikap bersedia mati bagi Tuhan, dan bukannya mengangkat pedang untuk menentang.

2 Tawarikh 7:14 (ABB) tetapi jika mereka berdoa kepada-Ku lalu bertaubat dan berhenti melakukan perbuatan jahat, maka dari syurga Aku akan mendengarkan mereka, dan mengampunkan dosa mereka, serta menjadikan negeri mereka makmur semula.

Umat Tuhan akan dikenali dengan kemampuan mereka untuk berjalan dalam kasih, menyerahkan nyawa mereka bahkan kepada orang memusuhi mereka. Mereka bukan dikenali oleh sikap dogmatik ke atas sesebuah perkara atau posisi mereka. Kemenangan dicapai ketika anda berlutut untuk berdoa!

Roma 13:1-7 (ABB) Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah. Oleh itu orang yang menentang pemerintah, menentang apa yang sudah ditetapkan oleh Allah. Sesiapa yang berbuat demikian akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. Mereka yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah. Hanya mereka yang berbuat jahat harus takut. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pemerintah, berbuatlah baik, lalu kamu akan dipuji. Hal itu demikian, kerana pemerintah itu hamba Allah, yang berkhidmat bagi kebaikan kamu. Tetapi jika kamu berbuat jahat, takutlah kepadanya, kerana pemerintah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Pemerintah itu hamba Allah, yang menjatuhkan hukuman Allah kepada orang yang berbuat jahat. Itulah sebabnya kamu harus taat kepada pemerintah - bukan sahaja kerana takut kepada hukuman Allah, tetapi kerana hati nurani kamu menyuruh kamu berbuat demikian. Itulah sebabnya pula kamu membayar cukai, kerana pemerintah berkhidmat kepada Allah apabila menjalankan tugas. Bayarlah apa yang harus kamu bayar kepada pemerintah. Bayarlah cukai pendapatan, jika kamu harus membayarnya. Bayarlah cukai tanah, jika kamu harus membayarnya. Hormatilah mereka yang harus dihormati, dan hargailah mereka yang harus dihargai.


Comments

Popular posts from this blog

HIDUP DAN MATI

TUHAN, SUNATLAH HATI KAMI

DIA AKAN MEMANGKAS, MENCANTAS, DAN MEMBERSIHKAN RANTING-NYA BERULANG KALI