TUHAN, SUNATLAH HATI KAMI
![]() |
| Kredit Pixabay |
Ibrani 3:15 (ABB) Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu, ketika mereka memberontak terhadap Allah.”
Kadang kala Dia membiarkan kita mengalami kesakitan itu dan kita tidak dapat memahami mengapa kita menderita demikian. Kita bertanya mengapa kita perlu melalui hal-hal yang menyakitkan...pada dasarnya, memang banyak perkara yang tidak kita fahami tentang-Nya. Tetapi satu perkara yang perlu kita ketahui bahawa Tuhan "sendiri tahu akan rancangan-[Nya] untuk [kita]. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan [kita], tetapi untuk kemakmuran [kita] dan untuk memberikan masa depan yang [kita] harap-harapkan" Yeremia 29:11 (ABB).
Kita mungkin sering bertanya kepada Tuhan, "Mengapa Bapa? Mengapa saya perlu merasakan kesakitan ini? Mengapa saya perlu merasakan kesakitan berulang kali?" Sebenarnya Dia tidak inginkan hati anak-anak-Nya yang keras dan buta. Dia mahu supaya kita membuka hati seluas-luasnya, supaya Dia dapat menyunatkannya.
Ulangan 30:6 (TBI) Dan Tuhan, Allahmu, akan menyunat hatimu dan hati keturunanmu, sehingga engkau mengasihi Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu, supaya engkau hidup.
Ulangan 30:6 (ABB) TUHAN, Allah kamu akan memberi kamu dan keturunan kamu hati yang taat supaya kamu akan mengasihi Dia dengan sepenuh hati, dan dapat tinggal terus di tanah itu.
Dalam terjemahan Bahasa Indonesia (TBI), kata yang digunakan ialah menyunat hatimu, manakala terjemahan Bahasa Malaysia menggunakan hati yang taat. Oleh itu kita dapat mengerti bahawa apabila Tuhan ingin menyunatkan hati kita, itu bermaksud Tuhan mahu memberikan kita hati yang taat. Tetapi bagaimana caranya? Kita harus membukakan hati kita seluas-luasnya untuk menerima firman Tuhan (Alkitab) dan membiarkan Roh Kudus mengerjakan firman itu di dalam hati kita. Maksudnya, kita membiarkan Tuhan bekerja di dalam hati kita barulah kita mendapat hati yang disunat atau taat.
Jika Tuhan tidak terus-menerus menyunatkan hati kita, suatu hari nanti hati kita akan menjadi keras dan buta serta mementingkan diri semula. Hati yang keras, buta dan mementingkan diri tidak tahu bagaimana untuk mengasihi orang lain. Hati yang keras, buta dan mementingkan diri hanya mencari kesenangan atau keselesaan sendiri, dan apa yang lebih teruk ialah kita tidak akan dapat mendengar suara Tuhan, sebab melalui hatilah kita mendengar Tuhan. Hanya hati yang lembut, bersukacita dan mengasihi orang yang dapat mendengar suara Tuhan, itulah hati yang suci.
Matius 5:8 (AVB) Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah.
2 Korintus 1:3-6 (AVB) Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa Yang Maha Pemurah dan Allah sumber segala penghiburan. Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kami terima sendiri daripada Allah. Sebagaimana banyaknya penderitaan Kristus yang telah kami alami, begitulah banyaknya penghiburan yang kami terima daripada-Nya. Jika kami menanggung kesusahan, itu adalah untuk menghibur kamu dan untuk penyelamatanmu. Jika kami dihibur, itu akan menghibur kamu juga, supaya kamu tetap tabah menanggung penderitaan yang telah kami alami juga.
Selepas mengetahui mengapa kita harus melalui kesakitan, mintalah kepada Tuhan untuk memberikan kita hati yang berani supaya kita dapat bertahan melalui setiap kesakitan dan penderitaan. Tidak perlulah kita menutupi hati lagi. Janganlah kita mengingini hati yang keras, buta dan mementingkan diri. Mintalah kepada-Nya supaya menjadikan kita berani dan kuat seperti singa tetapi lemah lembut seperti domba.
Allah Bapa mahu kita menjadi seperti domba sama seperti Yesus. Ketika Yesus menderita di kayu salib, itu merupakan pengalaman yang paling menyakitkan tetapi Dia rela menderita dan memberikan nyawa-Nya bagi kita.
Sebagai orang Kristian, saya belajar bahawa kita tidak sepatutnya terkejut apabila mengalami penderitaan dan kesakitan. Secara lahiriah, kehidupan orang Kristian sejati tidaklah selalunya "menggembirakan" disebabkan jalan yang diikuti penuh dengan penderitaan dan kesakitan oleh tindakan memikul salib. Tetapi kita mesti bertahan sehingga ke akhirnya. Suatu hari nanti, tidak akan ada lagi kesakitan, tangisan, dan penderitaan.
Matius 5:4 (AVB) Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur.
![]() |
| Kredit Pixabay |
Adakah kita sanggup menderita dengan atau tanpa penghiburan dari Tuhan? Adakah kita sanggup untuk membenarkan-Nya menyunat hati kita tidak kira betapa sakitnya prosesnya?
Yeremia 4:4 (AVB) Sunatkanlah dirimu bagi Tuhan dan buanglah kulit khatan hatimu, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, supaya murka-Ku tidak memancar seperti api,
dan menyala tanpa ada yang memadamkan, kerana segala perbuatanmu yang jahat.
Roma 2:29 (AVB) Seseorang dikira orang Yahudi berasaskan keadaan batiniah; dan persunatan adalah dalam hati dan bersifat rohani bukan mengikut hukum yang tersurat dalam Taurat. Orang sedemikian mendapat pujian bukan daripada manusia tetapi daripada Allah.
Tuhan, ampuni kami kerana seringkali menutupi hati kami, seringkali mementingkan diri sendiri dan selalu mencari kesenangan sendiri. Berikan kami hati yang berani ya Tuhan...untuk menuruti perintah-Mu dan untuk berjalan di laluan yang sempit itu tidak kira betapa sukarnya jalan itu. Kami dengan rela memberikan hati kami kepada-Mu TUHAN. Sunatlah hati kami supaya kami mampu untuk mengasihi-Mu dengan segenap jiwa dan dengan sepenuh hati. Di dalam nama Yesus Kristus, amin.
Kemuliaan hanya bagi TUHAN!


Comments
Post a Comment