DI TANAH JENIS MANAKAH ANDA BERADA KETIKA BENIH ITU JATUH?

Kredit Pixabay
Markus 4:4-9 (AVB) Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung. Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar. Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda. Lalu kata-Nya, “Siapa yang bertelinga, dengarlah!” 

Di tanah jenis manakah anda berada di mana benih itu jatuh? Benih Itu adalah Firman Tuhan. Sebiji benih haruslah ditanam. Ia harus diberikan Cahaya dan Air supaya bertahan dan membesar. Ia harus bertahan menempuh badai. Sementara pokok (kita) bertumbuh, ia mungkin akan menghadapi kemarau. Ia mungkin juga melalui hujan yang tersangat lebat. Ia harus mengatasi semua elemen alam semula jadi. Ia harus mengatasi serangga-serangga perosak (Iblis). Pokok tersebut pasti tidak mampu hidup mahupun bertumbuh tanpa Tuhan. Kerana air kita adalah dari Sumber Hidup (Yesus). Ia adalah dari Batu Hidup atau Perigi Hidup. Pokok itu perlu Cahaya untuk bertumbuh. Tuhan adalah Cahaya! Tuhanlah pemberi hidup! Tanpa Air dan Cahaya, pokok tersebut akan layu dan mati. Kita mesti terus-menerus mengambil bahagian di dalam Tuhan bagi tujuan Hidup. Pokok itu harus tumbuh sehingga matang untuk menghasilkan buah seperti yang seharusnya.

Firman Tuhan dalam Alkitab juga menyatakan bahawa iman adalah seperti sebiji benih. Iman kita harus ditanam juga. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk bertumbuh dan membina keyakinan di dalam Tuhan, serta mengetahui kesetiaan Tuhan. Akan datang waktunya di mana imanmu akan meletus dan pada ketika itulah anda akan mengalami Laut Merah peribadi anda terbelah dua. Itulah waktunya di mana imanmu sejajar dengan kehendak Tuhan, dan Dia akan memerintahkan untuk memindahkan gunung dalam hidupmu dan imanmu akan memindahkannya.

Anda berada di tanah yang mana satu? Adakah si Iblis sudah datang dan telah memakan biji benihmu? Adakah anda di tempat yang banyak batu dengan tanahnya yang sedikit? Atau pun tanah anda banyak tumbuhan berduri? Atau pun tanah yang subur di mana benih tumbuh dengan baik?

Markus 4:13-23 (AVB) Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain? Penyemai itu menaburkan firman. Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur, Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita, tetapi mereka tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik mereka menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, iman mereka pun segera luntur. Ada yang lain seperti benih ditabur di tengah semak duri. Mereka mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda.” Yesus berkata pula, “Pernahkah orang memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita. Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan. Jika kamu bertelinga, dengarlah.”


Berapa kerap kita menyaksikan orang menerima Yesus dan kemudiannya menghilang? Berapa banyak daripada mereka datang ke gereja yang tiada kuasa (kuasa Roh Kudus) lalu menghilang selepas dua minggu? Mengapa gereja kita hanya menjadi tempat persinggahan semata? Ada yang membuat panggilan altar dan berfikir bahawa tugasnya sudah selesai. Bila mereka akan bercakap tentang kebenaran? Bila mereka memberitahukan kepada orang itu  bahawa sesiapa yang sudah membuat keputusan untuk mengikut Yesus, itu baru permulaan kepada banyak kesengsaraan lain yang bakal menyusul? Memang benar bahawa saat menerima Yesus merupakan saat yang sangat gemilang tetapi mereka (para pastor atau pemimpin gereja) harus juga menyatakan sisi yang lain tentang kebenaran. Bila mereka akan mengambil masa dan bertekad untuk memuridkan domba Allah? Mereka (para domba Allah) harus diberitahu bahawa sekarang mereka menjadi sasaran Iblis. Iblis akan datang untuk mencuri Benih daripada mereka (Markus 14:15). Mereka harus diberitahu tentang itu meskipun mereka sedang bersukacita pada ketika ini kerana telah menerima Yesus. Kecuali mereka berakar di dalam firman Tuhan, akan ada kemungkinan untuk tersandung dan jatuh apabila penganiayaan datang (Markus 4:16-17). Mereka harus diberitahu untuk memisahkan diri dari dunia dan menghasilkan buah, jika tidak mereka akan digoda oleh kerisauan dunia (Markus 4:18-19).

Mereka harus diberitahu, “Memang betul bahawa anugerah telah menyelamatkanmu melalui imanmu tetapi sekarang ada bahagian yang harus dikerjakan. Ada kerja yang sudah Tuhan khaskan bagimu sebelum dunia ini dijadikan, iaitu kita harus menghaslkan BUAH! Kita dikenal melalui buah yang kita hasilkan!”

Efesus 2:10 (AVB) Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan.

Bercakap tentang kebenaran, adakah saya mengajar keselamatan yang berdasarkan perbuatan? Anugerah telah menyelamatkan kamu tetapi Iman tanpa perbuatan adalah MATI! Anugerah terus bekerja hanya jika kita terus-menerus PATUH! Tetapi Anugerah sabar menanti dan terus bertahan. Perbuatan kita adalah bukti kepatuhan kita, dan kepatuhan kita adalah bukti Iman kita. Iman bukannya untuk dijalani dengan buta. Hanya orang buta yang akan menuntun orang buta ke dalam parit. Iman saya tidak buta kerana saya mengerti janji seperti mana yang Yesus katakan kepada umat-Nya. Iman saya berjalan menuju janji itu. Ia tidak berjalan secara membabi buta menuju ke arah yang rambang. Ia berjalan bersama-sama dengan arah yang diberikan-Nya kepada saya.

Banyak orang Kristian yang tersandung dan sudah jatuh. Penganiayaan atau takut akan cemuhan telah membuatkan mereka kecut. Kerisauan terhadap kehidupan telah menyesatkan banyak orang. Mereka mengejar berhala dan mereka tidak tahu akan kenyataan bahawa mereka sedang menyembah berhala. Mereka adalah buta rohani tetapi masih mengaku mengenal Allah. Mereka percaya akan masuk ke dalam Kerajaan Allah kerana mereka berkompromi dengan perkataan “PERCAYA”. Ramai orang tahu situasi kerohanian mereka, ramai juga yang tahu yang mereka sedang meninggalkan Tuhan. Sama seperti Adam dan Hawa bersembunyi ketika mereka jatuh ke dalam dosa, ramai daripada umat-Nya mencari Dia dan “percaya” kepada Dia secara bersembunyi di kejauhan. Ramai orang yang akan mati dalam dosa mereka. Inilah masanya untuk membangunkan kamu dari tidur. Inilah masanya untuk melangkah menuju panggilan anda. Semua orang ada panggilan sendiri. Panggilan yang mereka ada ialah untuk PATUH!

Apa yang anda fikir akan terjadi kepada pokok yang tidak pernah menjadi matang? Apa yang anda fikir akan terjadi kepada pokok yang tidak pernah menghasilkan buah? Memang sangat sukar untuk menjadikan seseorang "tanah yang baik" tetapi perjalanan hanya bermula selepas Benih itu ditanam. Itu bukanlah pengakhirannya! Ianya hanyalah permulaan terhadap banyak cubaan, ujian, dan kesengsaraan. Ia adalah jalan di mana harga harus dibayar untuk memikul salib kita sendiri. Jika kehidupan Kristian anda selama ini adalah mudah, menggembirakan, dan SUAM-SUAM KUKU, tidak perlulah berfikir akan diangkat semasa Yesus datang kedua kali nanti. Anda harus mengambil "kursus" yang dipanggil Kesengsaraan Besar untuk menguji Iman kamu!

Lukas 3:9 (AVB) Kapak sudah terletak pada akar umbi kayu. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.

Markus 11:12-13 (AVB) Esoknya, setelah mereka keluar dari Betania, Yesus berasa lapar. Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara.

Mark 11:21-22 (AVB) Petrus teringat lalu berseru, “Rabbi, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.” Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Berimanlah kepada Allah.

Dalam ayat 22 di atas, Yesus menjawab soalan Petrus, “Berimanlah kepada Allah.” Pokok itu tidak menghasilkan buah mungkin disebabkan oleh kurangnya iman di dalam Tuhan dan ini melambatkan kedatangan musim buahnya. Berapa banyak dari antara anda yang tiada masa khusus bagi Tuhan? Adakah anda sedar bahawa jiwa anda sedang menghadapi risiko? Banyak yang dipanggil tetapi sedikit yang dipilih. Banyak yang dipanggil! Siapa yang akan menjawab panggilan itu? Siapa yang akan patuh dan menjawab panggilan-Nya untuk menjadi Pengantin Perempuan yang terpilih?

Ulangan 31:8 (AVB) TUHAN sendiri akan memimpin kamu, dan Dia pulalah yang akan menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu. Jangan takut dan jangan kecut hati.

Inilah masanya untuk melangkah! Inilah masanya untuk keluar dari zon keselesaan anda! Inilah masanya untuk para Pengantin Kristus bangun dari tidur! Inilah masanya untuk berseru memanggil nama-Nya! Inilah masanya untuk menjalani panggilan kita! Inilah masanya untuk memberikan kepada-Nya kemuliaan! Inilah masanya untuk bertaubat dan kembali kepada Cinta pertama anda! Inilah masanya untuk mencari Dia sementara Dia masih boleh ditemui!

Comments

Popular posts from this blog

HIDUP DAN MATI

TUHAN, SUNATLAH HATI KAMI

DIA AKAN MEMANGKAS, MENCANTAS, DAN MEMBERSIHKAN RANTING-NYA BERULANG KALI